Tanpa penaja utama, Wings tetap menakluk kosmos

0
Biarpun kecewa kerana sukar mendapat penaja, namun tidak menghalang Wings untuk mengadakan konsert siri jelajah.

Biarpun kecewa kerana sukar mendapat penaja, namun tidak menghalang Wings untuk mengadakan konsert siri jelajah.

ADA getar dalam nada suara Awie, selaku vokalis kumpulan rock tersohor tanahair, Wings tatkala mengulas masalah penajaan sebarang persembahan mahupun konsert untuk artis tempatan yang masih berlaku hingga kini.

“SEJAK album pertama kami lagi, telah berlaku masalah penajaan kepada pengiat seni tempatan.  Kalau tunggu penaja kita, tak akan bergerak. Saya rasa, penaja pun ada double standard dan lebih berminat menaja artis luar negara berbanding pengiat seni tempatan. Apapun, ini tak menghalang Wings untuk terus berjuang dalam industri tanahair. Kami tetap bergerak walaupun tanpa penaja,” kata Awie.

Biarpun kecewa kerana sukar mendapat penaja khususnya daripada syarika-syarikat besar, namun keadaan itu bukan penghalang bagi kumpulan rock tersohor tanahair, Wings meneruskan perancangan untuk mengadakan konsert bergerak Wings -Menakluk Kosmos yang bakal berlangsung di tiga lokasi terpilih mulai 27 Disember 2014. wings2

Konsert anjuran Anggerik Events memulakan lokasi pertama di Tapak Ekspo, Seberang Jaya, Pulau Pinang dan diikuti di Stadium Tertutup, Kuala Terengganu, Terengganu (9 Januari depan) serta MITC, Melaka (31 Januari 2015).

Istimewanya, walapun konsert kali ini berbekalkan nama dan lagu baharu dalam album ke-17 Wings, Menakluk Kosmos yang telah berada di pasaran sejak 22 Mei lalu, Wings tetap akan mempersembahkan lagu popular mereka sejak ditubuhkan pada 1987.

Walaupun  kecewa apabila album Menakluk Kosmos diganggu masalah dicetak rompak, namun jualan album itu masih memberangsangkan. Sekali gus membuat Wings bersemangat untuk menemui peminat sebagai tanda ingatan buat peminat mereka.

Idam konsert percuma
Konsert ini ada dua kategori tiket iaitu RM75 dan RM390. Penonton yang membeli tiket berharga RM390 untuk Rock Zone akan mendapat pakej istimewa termasuk barangan eksklusif, berpeluang menghadiri sesi ramah mesra dan makan malam bersama anggota Wings.

Mengulas mengenai tiket berharga RM75 pada semua konsert itu, Awie menyifatkannya berbaloi dan tidak terlalu mahal serta dengan apa yang akan dipersembahkan.

“Kami masih belum mendapat penaja besar dan boleh menaja dari segi wang. Kalau ada penaja besar, kami sedia turunkan harga malah boleh buat konsert percuma untuk peminat serta penyokong setia Wings. Situasi kami sekarang, kerja dulu dan gaji fikir kemudian,” kata Awie pada sidang media pengumuman konsert Wings Menakluk Kosmos di Hotel Premiera, Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Awie, walaupun ketika ini dia sibuk membuat persiapan teater Takhta 3 Ratu di Istana Budaya berkata, dia tetap memberi fokus pada persiapan konsert Wings.

Awie janji persembahan terbaik untuk peminat setia Wings.

Awie janji persembahan terbaik untuk peminat setia Wings.

“Memang saya agak sibuk dengan latihan teater, tetapi saya janji akan memberi persembahan terbaik. Sebenarnya, kalau nak tunggu waktu saya tidak sibuk entah bilalah dapat teruskan konsert siri jelajah ini,” katanya yang turut memberitahu, Wings dalam perancangan untuk mengadakan konsert ke timur, tengah dan selatan semenanjung malah ke Sabah dan Sarawak.

Tiket Wings Menakluk Kosmos telah dijual sejak 5 Disember 2014. Bagi tempahan secara online, layari www.ticket2U.biz atau hubungi talian 03- 4026 5558. Kepada ahli kelab Sayap-sayap Wings, mereka bakal mendapat harga istimewa bagi kedua-dua kategori tiket.

Bagaimanapun, pembelian tiket perlu melalui kelab. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Zul di talian 012 266 6877 atau layari www.sayap2wings.com

Share on Google+1Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply