Tragedi MH17, Ziana terkejut – Armin menggigil

0
Tawakal dan percaya, semuanya ketentuan Allah.

Tawakal dan percaya, semuanya ketentuan Allah.

MALAYSIA sekali lagi dikejutkan dengan tragedi malang membabitkan pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17, setelah ditembak dan terhempas di sempadan Rusia-Ukraine.

Belum pun misteri MH370 terungkai, peristiwa ini benar-benar memberi kesan kepada rakyat Malaysia. Insiden MH17 turut dirasai penyanyi terkenal Ziana Zain dan suaminya, Armin Zahari.

Pernah berkhidmat dua tahun sebagai pramugari, Ziana mengakui terkejut mendengar berita  itu. Katanya, dia mendapat tahu mengenai perkara itu setelah mendapat mesej daripada rakan suaminya, Armin Zahari yang juga pramugara MAS.

“Waktu Armin beritahu mengenai tragedi itu, saya nampak tangan dia menggigil. Kemudian dia suruh saya buka siaran CNN dan kami terkejut melihat apa yang dilaporkan,” katanya ketika ditanya mengenai insiden MH17 sewaktu ditemui dalam program bersama Safi Rania Diamond di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, petang tadi.

Duta Safi Rania Diamond ini juga menjelaskan, suaminya tidak menyangka perkara itu berlaku kepada rakannya sendiri.

“Mereka baru saja berjumpa dan saya sendiri masih berhubung dengan rakan lama. Kami memang selalu saling berhubung,” ujar bekas pramugari di MAS ini.

Bersatu dan berdoa
Tambah pelantun lagu Madah Berhelah ini, Semua yang berlaku telah tertulis, tidak perlu tambah tokok cerita fasal kejadian ini dan bukan masanya menuding jari kepada sesiapa. Sebaiknya, rakyat Malaysia perlu bersatu dan sama-sama doakan mangsa kejadian ini selamat dan tenang di sana. Ajal dan maut tiada siapa tahu dan kita sendiri tidak tahu bila dipanggil ALLAH S.W.T.

Meskipun satu demi satu tragedi menimpa pesawat MAS, Ziana bagaimanapun tidak menghalang suaminya daripada terus berkhidmat dengan MAS.

“Ajal seseorang itu akan dijemput di mana saja, semua itu urusan Allah. Saya redha dan tak pernah rasa risau dengan keselamatan suami yang masih lagi berkhidmat bersama MAS. Tawakal dan percaya, semuanya ketentuan Allah.”

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply