Yazid inspirasi konsert sulong Search di Istana Budaya

0
Ini kesempatan istimewa kepada peminat setia mereka untuk melihat Search beraksi di pentas berprestij bertaraf dunia.

Ini kesempatan istimewa kepada peminat setia mereka untuk melihat Search beraksi di pentas berprestij bertaraf dunia.

SETELAH beberapa kali menolak tawaran mengadakan konsert di Istana Budaya, akhirnya legenda rock negara, Search bersetuju untuk beraksi di pentas berprestij bertaraf dunia itu menerusi konsert ‘Search: Live In Istana Budaya 2014‘ pada 4 hingga 7 Disember ini.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani dalam sidang akhbar di Istana Budaya hari ini mengakui amat berbesar hati atas kesediaan Search memenuhi undangan mengadakan konsert di Istana  Budaya.

“Kebanyakan penyanyi dan band bereputasi besar di negara ini telah mengadakan konsert di sini dan persetujuan Search ibarat impian menjadi nyata. Kami sudah lama mempelawa Search ke Istana Budaya dan baru kali ini tercapai. Bagi saya, ini kesempatan istimewa kepada peminat setia untuk melihat mereka beraksi di pentas berprestij ini.

Pada masa sama saya menyeru agar peminat yang akan datang nanti mematuhi ketetapan Istana Budaya khususnya dalam etika berpakaian ketika menonton konsert ini kelak,” kata Juhari.

Bagi vokalisnya, Amy menyifatkan ketetapan itu sebagai halangan yang membataskan persembahan mereka nanti. Mereka akan mengadakan persembahan mantap dan bertenaga sebagaimana konsert sebelum ini.

“Persembahan kami masih sama, cuma penonton perlu mematuhi etika berpakaian ketika menonton persembahan nanti. Saya yakin peminat akan faham,” kata Amy.

Penghargaan
Pastinya ramai sedia maklum, ketika ini Yazid Ahmad, 53, (pemain dram) kini dalam keadaan kurang sihat kerana penyakit buah pinggang yang dideritainya, namun peminat setia kumpulan rock tersohor ini tidak perlu bimbang kerana Yazid tetap akan membuat persembahan dalam konsert itu nanti.

“Pastinya akan ada pemain dram undangan untuk konsert nanti dan Yazid akan muncul dalam segmen khas bersama kami. Yazid sudah dimaklumkan mengenai perancangan ini dan dia sangat memahami kerana keadaan kesihatannya.

Sebenarnya kami belum dapat memberi bayangan jelas mengenai segmen konsert ini kerana konsep persembahan masih dalam perbincangan. Apa yang boleh saya katakan setakat ini, kami akan menampilkan Yazid dalam bentuk memberi penghargaan kepadanya. Mungkin dia akan muncul dalam persembahan 30 minit.

Kami juga tidak mahu membebani dia dan tentunya penganjur pun tak mahu ada gangguan sewaktu persembahan. Semua perancangan masih dalam perbincangan dan yang pasti konsert ini cukup istimewa. Sebenarnya, faktor Yazid antara sebab Search sebulat suara bersetuju menerima jemputan mengadakan konsert di Istana Budaya kali ini dan dia adalah inspirasi kepada persembahan kami nanti,” ujar Nasir (pemain bass) mengenai konsep persembahan sulong Search di Istana Budaya, Disember ini.

Yazit akan muncul dalam segmen khas dalam konsert 'Search: Live In Istana Budaya 2014'.

Yazid akan muncul dalam segmen khas dalam konsert ‘Search: Live In Istana Budaya 2014’.

Salur sumbangan
Walaupun jualan tiket belum dilancarkan, penganjur telah mendapat tempahan awal daripada peminat di Singapura dan Indonesia.

“Mereka bimbang tidak dapat tempat sebab kerusi hanya seribu lebih saja untuk satu pementasan,” kata Nasir lagi.

Jualan tiket berharga RM109, RM209, RM309 ndan RM409 akan dibuka mulai 15 Oktober ini. Ada juga tiket istimewa berharga RM799 yang bakal menerima pelbagai keistimewaan lain dalam konsert itu nanti.

“Ini termasuk tempat duduk paling strategik untuk menonton dan hanya terhad kepada beberapa tempat saja,” kata Pengarah Urban Creative Synergy dan penganjur konsert, Shamil Yusof.

Tambahnya lagi, sebahagian sumbangan daripada konsert itu akan disalurkan kepada Yazid dan Tabung Gaza. Tempahan tiket boleh dibuat di www.ticketpro.com.my.

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply